Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Marji' Taqlid, Ayatullah Al-Uzma Nasir Makarim Syirazi dalam kuliahnya di Haram Ma'sumah pada hari Selasa lalu berkata, "Wahabi menuduh kononnya Syiah berakidah dengan tahrif al-Quran sedangkan pengikut mazhab Syiah tidak pernah mempercayai demikian. Ini disebabkan Allah yang menurunkannya dan memeliharanya."
Beliau menambah, "Al-Quran adalah mukjizat abadi Nabi (s.a.w), adalah menjadi kelaziman untuk mukjizat ini terpelihara dari sebarang tahrif dan inilah akidah jumhur ulama Syiah."
Ayatullah Makarim Syirazi menganggap bahawa menjadi pengikut mazhab Syiah adalah sebuah kebanggaan dan menambah, "Nabi (s.a.w) meninggalkan dua perkara berharga kepada umatnya iaitu al-Quran dan Ahlul Bait yang menjadi kebanggaan pengikut mazhab Syiah selain menemui jalan yang benar."
Mengenai kuliahnya tentang surah Al-Ahzab, beliau berkata, "Pembacaan surah ini sangat baik untuk keamanan dari azab kubur, hendaklah kita sendiri yang membacanya dan mengajarnya kepada keluarga sehingga dapat bertadabbur dengannya."
Beliau menerangkan salah satu cara bertadabbur ialah menganggap ayat-ayat al-Quran sedang berbicara tentang kita.