| Kod: 314734 | Tanggal: 2012/05/13 - 06:01 | Sumber: Konsul Kebudayaan Kedutaan 1992Republik Islam Iran | print |
Kuala Lumpur; Kesatuan pemikiran dan kerjasama antara mazhab berupaya jayakan perpaduan umat Islam |
Sempena sambutan ulangtahun kewafatan Saiyyidah Fatimah az-Zahra (s.a) baru-baru ini, Bahagian Perhubungan Awam, Pusat Budaya Kedutaan Republik Islam Iran di Kuala Lumpur telah mewawancara Dr. Ali Akbar Ziaee tantang beberapa perkembangan mutakhir khususnya isu pendekatan antara mazhab.
Beliau berkata taqrib baina mazahib adalah tanggungjawab penting umat Islam di seluruh dunia bagi menjayakan perpaduan di kalangan masyarakat Islam yang mempunyai berbagai latar belakang ideologi. Tambahnya lagi propaganda pecah-belah dalam sebahagian media dieksploitasi demi melemahkan dunia Islam dan memberi ruang kepada golongan anti-Islam mempengaruhi masyarakat.
Dr. Ziaee selaku Kaunselor Kebudayaan Republik Islam Iran berkata, Islam adalah agama dialog, saling membantu dan kerjasama. Ayat al-Quran yang berbunyi, “Dan hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali Allah dan jangan berpecah-belah" menyeru kita untuk bersatu padu.
Menurut beliau, perpaduan Islam atau pendekatan mazhab bukan bermakna mengorbankan prinsip mazhab di dalam satu pemikiran atau menghapuskan salah satu daripadanya. Sebaliknya ia bermaksud dialog dan kerjasama yang berdasarkan ajaran hidup berunsurkan Islam dan keutamaan Al-Quran yang beraspirasi ke arah masyarakat yang ideal atau al-Madinah al-Fadilah.
Umat Islam di Iran
Dr. Ziaee berkata, hari ini golongan Ahlul Sunnah mempunyai kedudukan yang sangat penting di Iran berbanding sebelum revolusi Islam. Bilangan pusat keagamaan, masjid dan sekolah mereka telah berkembang lebih daripada seratus peratus, tegasnya lagi. Beliau juga menambah golongan Ahlul Sunnah di Iran bebas menjalankan aktiviti keagamaan mereka berasaskan perlembagaan dan sokongan daripada pihak berkuasa Republik Islam Iran.
Selain turut menganggotai badan penggubal dasar negara seperti Parlimen Islam Iran (Majlis-e Shura-e Islami), Dewan Pakar Kepemimpinan (Majlis-e Khubregan-e Rahbari) dan jabatan-jabatan kerajaan, Ahlul Sunnah juga bebas mengamalkan mazhab dan akidah mereka. Sekarang ini Ahlul Sunnah mempunyai sepuluh orang perwakilan di Parlimen dan tiga orang di Dewan Pakar, ujar beliau.
Selain itu, fekah Ahlul Sunnah juga diajarkan di beberapa pusat pengajian seperti di Universiti Tehran, Universiti Taqrib Mazahib dan Universiti Adyan va Fiqh di kota Qom. Pihak kerajaan juga turut membiayai semua sekolah dan masjid Ahlul Sunnah termasuk para guru dan imam mereka, tegasnya lagi.
Menghina dan Mencaci
Mengenai isu penghinaan terhadap kesucian mazhab lain di dalam Islam, Dr. Ziaee berkata, ianya tidak pernah diakui oleh para ulama di seluruh dunia Islam dan tidak menerima penghinaan yang dilakukan oleh sesama kaum muslimin.
Sebagai umat Islam yang meyakini al-Quran yang satu, Nabi yang satu dan Kiblat yang sama, kita hendaklah menjauhkan diri dari wacana yang memecah-belahkan yang bertujuan melemahkan dunia Islam, kata beliau lagi.
Menurut Dr. Ziaee, Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran sentiasa menekankan perpaduan umat Islam dan telah mengeluarkan fatwa yang mengharamkan cercaan dan penghinaan terhadap isteri-isteri Nabi (s.a.w). Fatwa ini sekaligus menyokong perpaduan umat Islam dan pendekatan antara mazhab.
Sebagai contoh, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) selaku badan kerjasama Islam sangat menekankan perpaduan dan menolak kenyataan-kenyataan yang boleh memecah-belahkan kesatuan umat. Para pemimpin dan agamawan mereka tidak pernah melaknat, menghina dan mengkafirkan antara satu sama lain, jelas beliau.
Tohmahan
Kounselor Budaya Republik Islam Iran itu berkata, tuduhan bahawa umat Islam Syiah telah menyelewengkan kitab suci al-Quran dan mempunyai al-Quran yang berbeza adalah berpunca daripada kurangnya pengetahuan terhadap Syiah. Sesiapa sahaja yang mengenali mazhab ini walaupun dengan pengetahuan yang sedikit, pasti akan mengetahui bahawa seluruh ulama Syiah secara ijmak telah menolak adanya penyelewengan terhadap kitab suci al-Quran, ujarnya lagi. Memang terdapat beberapa riwayat di dalam kitab hadis yang menyebut berlakunya tahrif, tetapi riwayat-riwayat tersebut adalah palsu dan dhaif, kata beliau.
Dr. Ziaee menegaskan bahawa sekarang kita hidup di zaman di mana musuh-musuh Islam sedang menyasarkan akhlak dan akidah para pemuda kita, pemikiran seperti penyembahan syaitan melalui simbol pakaian yang berbeza, filem-filem yang tidak bermoral sedang berleluasa disebarkan di tengah masyarakat Islam.
Justeru menjadi tanggungjawab para ulama untuk saling bekerjasama mencari penyelesaian bagi menjaga keutuhan agama dan akhlak masyarakat, dan bukan menyibukkan diri dengan masalah khilafiyah, tegasnya lagi.
Menurut Dr. Ziaee, syarat utama untuk mencapai perpaduan umat Islam ialah dengan mengenali kefahaman sebenar antara mazhab Islam berdasarkan sumber-sumber muktabar, dan bukan pandangan salah pihak lain. Beliau juga menambah, untuk mempunyai pemahaman yang benar tentang mazhab Shafie, kita harus mengkaji sumber yang diterima oleh para pengikut Imam Shafie. Sebaliknya, ujar beliau, kita perlu merujuk kepada karya-karya Imam Shafie, Fakhruddin al-Razi, Al-Ghazali, Imam al-Haramayn al-Juwayni, al-Suyuti, Abu al-Hasan al-Asyari, dan lain-lain. Pandangan yang adil tidak akan diperolehi dengan merujuk kepada pandangan mereka yang tidak sealiran dengan beliau.
Walau bagaimanapun, dalam setiap aliran mazhab, mungkin terdapat beberapa riwayat yang palsu dan lemah yang tidak diterima di sisi ulama mazhab itu sendiri, tegasnya lagi. Justeru, ia hadis yang lemah dan palsu tidak boleh dianggap sebagai sebahagian daripada akidah tersebut.
Sebagai contoh, seluruh pengikut Syiah percaya terdapat hanya satu al-Quran, dan itulah kitab yang wujud di kalangan kita semua dan dibaca setiap hari. Sesiapa yang mengatakan adanya al-Quran lain yang berbeza maka mereka mempercayai tahrif al-Quran dan para ulama Syiah secara ijma’ telah menolak kewujudan penyelewengan terhadap al-Quran, tegas Dr. Ziaee.